8 Sep 2009

Catatan Perjalanan - Lawatan Kerja Ke Jakarta 3

Mesyuarat di BAZNAS tamat sekitar jam 3.05 petang. Kami terus bertolak ke destinasi terakhir untuk hari pertama ini iaitu kunjungan ukhuwwah ke Darul Tauhid. Pemandu rombongan kami - Pak Junaidi (berasal dari Kalimantan sekitar daerah Pontianak) - membawa kami melalui Lebuhraya Lingkaran Jakarta untuk ke Darul Tauhid yang terletak di daerah Bintaro, selatan Jakarta. Bintaro merupakan satu daerah di dalam propinsi Banten iaitu daerah di luar Jakarta. Perjalanan ke Darul Tauhid yang merupakan sebuah pesantren cawangan milik Pak A.A. Gym mengambil masa kira-kira 1 jam 15 minit. Perjalanan ini memberi peluang lebih luas kepada saya untuk mengamati dan melihat pemandangan di Jakarta dan daerah sekitarnya dengan lebih dekat. Ketika ini, walaupun badan agak keletihan (tidur hanya 3 jam pada malam sebelum bertolak dan bangun seawal jam 2.30 pagi) tetapi semangat ingin tahu yang tinggi terhadap situasi baru di tempat orang menyebabkan saya tidak mengambil kesempatan untuk tidur sepanjang perjalanan ini.

Jalan raya daerah yang berbeza dari standard Malaysia

Selepas tiba di daerah Bintaro, kami keluar dari laluan lebuhraya dan masuk ke jalan daerah. Masuk saja jalan daerah, ku lihat satu perbezaan yang nyata dari sudut kualiti jalan raya. Sememangnya jalan antara dan di dalam daerah di Indonesia lebih bersifat 'jalan kampung' dengan laluan dua hala yang sempit dan tidak diturap dengan baik. Banyak lopak-lopak yang agak besar di jalan raya yang sibuk dipenuhi dengan pelbagai kenderaan khususnya motosikal. Untungnya ketika ini di sana adalah musim kemarau. Lepas saja sedikit dari pekan Bintaro, kami mula masuk ke kawasan perkampungan menuju ke Darul Tauhid. Dengan jalan kampung yang berselang seli antara tar, tanah dan simen, kelajuan maksimum yang boleh dicapai untuk ke Darul Tauhid ialah seputar (sekitar) 45 - 50 kmj sahaja. 

Inisiatif ekonomi masyarakat desa setempat

Sepanjang melalui jalan kampung ini, saya dapati masyarakat sekitar gigih terlibat dalam perniagaan kecil-kecilan di tepi jalan. Malah ada kedai kecil yang menempatkan 'absorber' dan spring kereta. Mungkin khusus untuk mereka yang mengalami kerosakan 'absorber' akibat selalu melalui jalan yang berlubang. Kedai kecil ini bukanlah setaraf bengkel di Malaysia. Tapi ia hanya sebesar bangsal menjual goreng pisang. Dan di sana jarang jumpa kedai-kedai yang dimiliki oleh taukeh Cina. Ini menunjukkan tekanan hidup di sana memerlukan mereka mengaplikasikan kemahiran yang ada semaksimum mungkin demi mencari rezeki untuk menjamah sesuap nasi. Terdapat juga bentuk perusahaan / perniagaan kecil lain seperti runcit, pertukangan pintu kayu, pakaian bundle, gerai makanan & minuman, gerai sticker, gunting rambut, cat dan ketuk body kenderaan, kraftangan, bengkel kecil motosikal serta bangsal menjual aksesori penunggang motosikal. Semuanya dilakukan dalam skala yang kecil dan fokus kepada 1 atau 2 produk/perkhidmatan sahaja. Saya kagum dengan kesungguhan masyarakat di sini. Semasa dalam perjalanan ini juga, kami terserempak dengan cara kutip derma yang agak kreatif dan memang tak jumpa di Malaysia. Kutip derma guna sauk/jaring untuk menangkap ikan!!! Pengutip derma akan berada di tengah-tengah jalan dan kenderaan yang lalu lalang akan perlahan apabila melalui kawasan ini. Mereka yang ingin menderma / infak, terus boleh masukkan duit dalam karung yang dipegang oleh petugas. Menurut Pak Ade, biasanya derma yang dikutip ini adalah untuk kegunaan masjid. Saya juga kagum dengan situasi ini, walaupun rata-rata masyarakat hidup susah tetapi mereka tetap iltizam untuk menginfakkan apa yang mereka miliki walaupun sedikit untuk dikongsi bersama.

Pesantren Darul Tauhid

(bersambung)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan