7 Sep 2009

Catatan Perjalanan - Lawatan Kerja Ke Jakarta (2)

Kami tiba di Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia sekitar jam 10.05 pagi dan terus dibawa menuju ke bilik mesyuarat oleh Pak Ade. Kami diperkenalkan kepada Pak Maamun dan rakan-rakan yang lain. Mesyuarat berlangsung dengan lancar dan banyak teras dan hajat utama lawatan ini kami perolehi di sini. Dato' Aidit menetapkan input yang diperolehi dari pertemuan ini akan menjadi pasak utama agenda kerja feasibility study yang bakal kami lakukan apabila pulang ke Malaysia. Setelah bertukar cenderahati, mesyuarat tamat pada jam 11.45.

Bangunan Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia


Solat Zohor di Masjid Dewan Dakwah.

Tepat jam 12.05 tengahari, masuk waktu Zohor dan kami terus solat jamak taqdim secara berjemaah di Masjid Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia. Ramai para jemaah yang turun solat berjemaah. Mereka rata-ratanya adalah petugas di Dewan Dakwah. Terdapat lebih kurang 8 saf. Saya agak kagum dengan jumlah yang ramai turun berjemaah. Mereka bergegas untuk berjemaah sejurus masuk waktu. Agak berbeza dengan situasi di Malaysia di mana orang lebih suka 'menyendiri' di pejabat masing-masing dari bergegas ke masjid. Situasi ini saya sangka mungkin hanya berlaku di institusi Islam seperti Dewan Dakwah Islamiyah ini. Namun, sangkaan saya meleset. Berdasarkan pemerhatian 3 hari di Jakarta, sememangnya menjadi amalan masyarakat untuk solat berjemaah di masjid atau surau. Dan saya juga dapati banyak surau didirikan dalam penempatan muslim. Berdasarkan pemerhatian, saya dapati surau didirikan dalam radius setiap 300-500 meter. Ini sesuai dengan susun atur penempatan di kota Jakarta yang agak padat. Pengalaman ini sedikit sebanyak telah membetulkan persepsi negatif saya terhadap kota Jakarta khususnya dari sudut pengamalan agama Islam.

Sejurus selesai solat Zohor bersama jemaah masjid, kami terus menunaikan solat Asar secara qasar berjemaah, memanfaatkan rukhsah musafir. Manakala imam masjid terus bangun setelah selesai memberi salam untuk memulakan tazkirah. Para jemaah tetap setia menunggu sehingga habis sesi tazkirah.


Selesai solat, kami ke pejabat Dewan Dakwah untuk bersalaman dan bersedia untuk ke destinasi kedua iaitu BAZNAS (Badan Amil Zakat Nasional). Kami tiba di kantor/pejabat BAZNAS sekitar jam 1.00 tengahari. Kedudukan kantor ini adalah di sekitar Jakarta pusat. Kami disambut oleh kakitangan BAZNAS dengan penuh senyuman dan dibawa ke bilik mesyuarat. Ibu Emmy Hamidiyah selaku Pengarah Eksekutif BAZNAS mempengerusikan mesyuarat dan memberikan penerangan asas mengenai organisasi ini. BAZNAS merupakan sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan khusus untuk menguruskan hal-hal berkaitan zakat di Indonesia. Secara umumnya, kutipan zakat di Indonesia tidak mempunyai satu sistem khusus seperti yang diamalkan di Malaysia. Di sana, setiap individu yang mampu (dikenali dengan istilah 'muzakki') boleh membayar zakat mengikut pilihan sendiri samada kepada agensi kerajaan, NGO, agensi swasta Islami atau terus kepada asnaf (lebih dikenali dengan istilah mustahiq) dan ramai orang perseorangan atau organisasi lebih suka menyalurkan zakat mereka terus kepada mustahiq. Ini adalah cabaran pengurusan zakat di Indonesia menurut pandangan BAZNAS kerana dana zakat tidak dapat dikumpulkan dan diagihkan dengan bersistem. Situasi ini ada pro dan kontranya yang tersendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan