6 Sep 2009

Catatan Perjalanan - Lawatan Kerja Ke Jakarta 1

Tanggal 1 September 2009, diri ini telah mengikuti satu lawatan kerja ke Jakarta, Indonesia. Tujuan lawatan ialah untuk Akademi Aidit Sdn. Bhd. menjalinkan silaturrahim dengan badan-badan yang menguruskan hal-hal berkaitan usaha membanteras kemiskinan di seluruh Indonesia. Beberapa minggu sebelumnya, Dato' Aidit melalui kenalannya telah diperkenalkan dengan Pak Ade Salamun selaku Setiausaha Eksekutif Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia. Oleh itu, Pak Ade telah menyusun pertemuan dengan beberapa organisasi untuk dikunjungi sepanjang lawatan kerja ini. Pak Ade juga merangkap individu yang bertanggung jawab menguruskan perjalanan kami sewaktu di sana.

Seawal jam 4.00 pagi 1 September (Selasa), aku telah dijemput oleh Dato' Aidit dengan menaiki teksi untuk ke LCCT. Dalam perjalanan ke sana, kami singgah untuk mengambil Sdr. Izhan. Tiba di LCCT lebih kurang jam 5.10 dan kami terus check in. Setelah selesai urusan, kami masih sempat meneguk air di restoran Marrybrown sebagai pelengkap sahur sebelum solat Subuh berjemaah. Kira-kira jam 6.45 pagi, kami bergerak menuju ke pesawat Air Asia penerbangan AK380 dan pada jam 7.00 pesawat berlepas meninggalkan tanah air. Perasaan ketika itu, bercampur baur. Sebak meninggalkan keluarga, rasa semangat untuk belajar sesuatu yang baru, keliru dengan apa yang akan dialami di negara orang (inilah first time berada di negara orang) dan seronok untuk mengalami situasi baru dan berkenalan dengan orang baru.

Pesawat ke Jakarta pada pagi itu tidak penuh dan bercampur antara warga Malaysia dan Indonesia. Kira-kira 2 jam perjalanan, akhirnya kami tiba di Soekarno Hatta International Airport di Terminal 2. Waktu Indonesia lewat 1 jam berbanding waktu Malaysia. Oleh itu, sewaktu kami tiba, jam menunjukkan pukul 8.05 pagi waktu Indonesia. Keadaan Jakarta pada pagi itu agak berjerebu dengan jarak penglihatan sekitar 500 meter (mengikut makluman Kapten pesawat ; Kapten Ho). Setibanya di sana, ku rasa situasi dan suhu Jakarta berbeza berbanding dengan Kuala Lumpur. Keadaannya seperti panas dan kering. Semasa lawatan ke sana, kami dimaklumkan bahawa hujan tidak turun di bumi Jakarta lebih kurang 1 bulan. Belum pun sampai setengah jam tiba di Soekarno Hatta International Airport, tekak ku dah mula kering dan cuaca agak panas. Perkara pertama yang menarik perhatian ku sewaktu tiba di sana ialah sinaran mentari pagi. Sinaran matahari pagi di sana ku lihat agak cerah kekuningan. Iaitu jam 8.30 pagi seolah-olah kita melihat situasi cerah di Malaysia pada jam 3.30 hingga 4.00 petang. Ku rasa seperti berada di waktu petang walau jam hanya menunjukkan pukul 8.30 pagi.

Lebih kurang 15 minit setelah keluar dari pemeriksaan Imigresen, kami dijemput oleh Pak Ade dengan menaiki Toyota Avanza yang dipandu oleh Pak Junaidi. Kami terus dibawa ke Hotel Sri Varita yang terletak di Jalan Kramat Raya, Jakarta Pusat untuk check-in.


Jalan raya yang macet.

Perjalanan ke hotel mengambil masa kira-kira 40 minit. Sepanjang perjalanan, kami melalui Lebuhraya Lingkaran Jakarta yang pada pengamatan ku sepanjang berada di sana, itulah satu-satunya jalan raya yang terbaik yang ada di sana. Jalan menuju ke hotel agak sesak (bahasa Indonesianya "macet") kerana ketika itu, warga Jakarta sibuk menuju ke tempat kerja. Di sebelah lebuh raya, terdapat jalan biasa yang lebih sesak. Di sana, jalan biasa adalah alternatif kepada lebuh raya dan terletak bersebelahan kiri dan kanan lebuh raya. Mereka yang tidak 'mampu' membayar tol, akan melalui jalan biasa yang amat sesak.

Menurut Pak Ade, jumlah warga Jakarta pada waktu kerja atau siang hari ialah sekitar 12 juta orang. Manakala pada sebelah malam, jumlahnya menurun kepada 6 juta orang. Ini bermakna 6 juta orang yang tinggal di luar Jakarta akan berasak memasuki dan keluar kota metropolitan ini pada setiap pagi dan petang setiap hari bekerja. Kota Jakarta juga kelihatan amat padat dengan susunan rumah dan bangunan yang dibina berhimpit-himpit.


Jurang hidup = pemilikan kenderaan

Penggunaan kenderaan di Jakarta juga menggambarkan status hidup masyarakatnya. Di sana jelas kenderaan memaparkan perbezaan darjat kaya-miskin masyarakat. Ada tiga kelompok utama di atas jalan raya Jakarta : 1. Pejalan kaki (kadang kala menahan kenderaan untuk ditumpang). 2. Penunggang motosikal. 3. Pemandu kereta. Di kota Jakarta, seolah-olah tiada masyarakat peringkat pertengahan. Yang ada kaya dan miskin. Kelompok kaya memang betul-betul kaya serta yang miskin memang papa kedana sehingga ada yang merempat di tepi jalan sahaja.

Kereta yang paling 'famous' di Jakarta ialah Toyota Avanza. Setiap saat mesti ada Avanza yang melintas di depan mata. Dan pada pengamatan saya, Avanza adalah kereta yang paling biasa dan minimum. Kelas di bawah Avanza ialah motosikal. Manakala kelas atasnya tentulah kereta yang lebih 'bernilai' dari Avanza seperti Innova, Stream, Vios, Grand Livina dan Alphard. Perkhidmatan teksi di kota Jakarta menggunakan kereta Toyota Vios dan ia dipanggil LIMO.

Kereta kompak setaraf dengan VIVA / Kancil hampir tidak kelihatan di sana. Sepanjang 3 hari di sana, saya hanya terserempak dengan sebuah Saga dan bilik pameran Proton. Rasanya rakyat Indonesia kurang gemar memiliki kereta Malaysia kerana situasi kini dan isu semasa yang membuatkan mereka ingin "ganyang" Malaysia. Kenderaan yang mendominasi jalan raya Jakarta ialah motosikal. Bilangan mereka lebih banyak berbanding di Kuala Lumpur khususnya pada waktu masuk dan keluar kerja. Tetapi yang anehnya, tidak pula di dapati di kalangan penunggang motosikal ini gayanya seperti mat rempit. Mungkin mat rempit / samseng jalanan hanyalah budaya setempat Malaysia.


Hon sebagai alat komunikasi

Sepanjang perjalanan ke hotel dan selama berada di sana, saya dapati pemandu betul-betul memanfaatkan fungsi hon. Ia digunakan sebagai alat komunikasi, komplain, makluman, teguran dan alat untuk ucap terima kasih serta selamat jalan. Biasa di Malaysia, ramai orang 'marah' jika di hon, tetapi di Jakarta lain. Ia sememangnya satu alat komunikasi yang efektif. Jadi tidak hairanlah jika jalan raya mereka yang sesak menjadi hingar-bingar dengan bunyi hon.

Selepas melalui beberapa pengalaman tadi, akhirnya kami tiba di Hotel Sri Varita sekitar jam 9.30 pagi. Setelah check-in dan meletakkan barang di bilik bernombor 501, kami hanya ada masa 10 minit sahaja untuk rehat dan mengemaskan diri. Dato' Aidit memang nak segera bergegas untuk memulakan tugas dan kunjungan pertama memandangkan jadual hari pertama ini kami perlu melakukan kunjungan ke tiga destinasi. Dalam hati kecilku terdetik, letih jugak ni hari ni. Dah la puasa dan bangun seawal 2.30 pagi. Tetapi puasa dan itu semua tidak seharusnya menjadi hambatan untuk kami bergerak secara efektif dan mencapai objektif yang telah digariskan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan