Agung ciptaan Ilahi - Manfaatkan minda, gilap mata hati dan mantapkan potensi diri untuk mensyukuri nikmatNya.
9 Ogo 2009
4 Ogo 2009
Self Hypnosis

Self hypnosis merupakan satu teknik di mana kita memfokuskan diri kita untuk mencapai sesuatu matlamat. Kaedah asasnya ialah dengan mempasakkan cadangan / kata-kata positif ke dalam minda separa sedar dengan bantuan situasi yang membawa ketenangan.
Kaedah self hypnosis ini berfungsi sama seperti hipnosis yang lain cuma ia dikendalikan oleh diri individu itu sendiri tanpa bantuan ahli terapi hipnosis. Proses hipnosis ini akan membolehkan minda sedar kita dipintas dan aliran komunikasi minda diambil alih oleh minda separa sedar.
Melalui teknik self hypnosis, anda boleh menambah set kualiti atau tabiat yang tidak dimiliki sebelum ini begitu juga untuk merubah perkara yang tidak disukai.
Kadang-kadang, dalam kehidupan seharian, kita selalu memomokkan diri kita dengan perkara yang negatif. Contohnya, “aku tak boleh buat”, “ni susah ni”, “macam mana ye nak deal dengan customer ni”, “confirm la aku kena marah dengan bos”, “perkara ni dah tak boleh ubah, dari dulu lagi orang buat macam ni”, “aku memang tak mampu” dan macam-macam lagi. Ini sebenarnya adalah satu bentuk self hypnosis tetapi secara negatif. Sebenarnya, dalam sistem minda kita, sesuatu perkara jika ditanam atau diulang berulang kali akan memberi kesan secara tidak langsung kepada kita dan tugasan kita. Akhirnya, individu yang selalu mengulang kata-kata di atas tadi akan terkesan dengan perkataan tersebut yang telah terpasak dalam minda separa sedarnya dan dia akan menjadi mangsa halusinasi yang dicipta oleh dirinya sendiri.
Oleh itu, untuk mendapat kesan yang positif, sentiasalah ulang sebutan perkara yang positif untuk diri kita. Dan setiap kata-kata yang baik itu adalah doa. Self hipnosis dengan kata-kata yang positif akan membolehkan kita memprogramkan semula minda separa sedar dan membuang segala bentuk fahaman negatif sekaligus mencapai kejayaan cemerlang yang diimpikan.
Anda sebenarnya BOLEH jika anda IZINKAN diri anda untuk melakukannya!!!
Sebenarnya, semasa proses hipnosis, kita tidak berada dalam keadaan tidur. Tetapi kita sebenarnya berada pada satu tahap kesedaran tertentu. Menurut ilmu kajian gelombang otak, gelombang seseorang yang berada dalam keadaan hipnosis adalah gelombang alpha. Ia umpama seseorang yang dalam keadaan permulaan tidur atau tidur-tidur ayam (light sleep). Kita masih sedar tentang apa yang berlaku di sekeliling tetapi tahap konsentrasi kita sewaktu hipnosis tersebut amat fokus kepada sesuatu yang spesifik. Semasa proses ini, minda kita bertindak balas dan fokus kepada saranan yang dibina dengan kata-kata yang kita sebutkan. Oleh itu, ia membenarkan kita mempasakkan saranan tadi ke dalam minda separa sedar.
Samada sedar atau tidak, kita sebenarnya kadang-kadang berada dalam keadaan hipnosis. Sebagai contoh, mungkin kita pernah mengalami di mana kita terlalu sibuk,leka dan fokus dengan sesuatu yang kita lakukan sehingga kita tidak sedar bahawa masa telah berlalu. Kita mengalami hipnosis dalam banyak perkara setiap hari dan kita tidak sedar bahawa ia berlaku pada diri kita. Ia mungkin berlaku ketika kita asyik :
• Menonton televisyen.
• Mendengar muzik.
• Membaca buku.
• Memandu kenderaan.
• Berkhayal.
• Bekerja.
• Melakukan sesuatu yang amat diminati.
Islam sebagai agama fitrah telah lama mengkhususkan waktu yang khas untuk umatnya melakukan self hypnosis. Namun, self hypnosis dalam Islam bersifat lebih holistik dan bermatlamat yang mana proses yang dilakukan ini melengkapkan hubungan manusia dengan Allah yang Maha Mencipta. Solat wajib yang dilakukan 5 kali sehari adalah satu bentuk deep self hypnosis di mana kita mengasingkan diri kita dari kesibukan dunia dan berhubungan langsung dengan Allah. Sebaik-baik solat ialah solat yang khusyuk dan sempurna. Beberapa pandangan sahabat dan ulamak tentang khusyuk dalam solat :
1. Berkata Saidina ‘Ali r.a.; “Khusyuk itu ialah khusyuk hati”. Menurut riwayat lain, beliau berkata; “Khusyuk itu ialah tidak berpaling ke kanan atau ke kiri”.
2. Menurut Imam al-Qurthubi; “Khusyuk ialah suatu keadaan di dalam jiwa di mana dia mewujudkan keadaan tetap (tenang) dan merendah diri segala anggota”.
3. Menurut Imam Zamakhsyari; “Khusuk dalam solat ialah hati berkeadaan takut dan mata selalu tunduk (ke tempat sujud)”. (al-Kasysyaf)
4. Berkata Imam al-Jurjani; “Orang yang khusyuk ialah yang merendah diri kepada Allah dengan hati dan segala anggotanya”. (at-Ta’rifat)
5. Menurut Imam al-Kalbi; “Khusyuk itu ialah suatu keadaan di hati di mana dia mempunyai sifat takut, muraqabah (selalu memperhati kan Allah) dan merendah diri kepada kebesaran Allah, kemudian dia mempengaruhi segala anggota yang membawa berkeadaan tetap, seronok melakukan solat, tidak berpaling-paling, menangis dan berdoa”.
Elemen khusyuk melatih individu untuk fokus dan kita juga disuruh tadabbur atau memahami ayat yang dibaca ketika solat. Oleh itu, solat yang khusyuk dan diiringi tadabbur akan membantu membina jatidiri dengan kaedah mengaktifkan minda separa sedar melalui saranan ayat-ayat Allah yang akhirnya menghasilkan tingkah laku yang baik yang dikawal oleh minda sedar. Justeru, matlamat utama dari solat iaitu untuk membina peribadi yang mampu menapis dan menghindari elemen negatif, fahsyat dan mungkar Insya Allah akan mampu dicapai. Selain itu, self hypnosis secara Islam juga boleh berlaku ketika membaca al-Qur’an dan berzikir.
31 Jul 2009
Hipnosis - Terokai kehebatan minda ciptaan Allah.
Bermula seminggu yang lepas, saya mula mendalami dan membuat pembacaan asas tentang ilmu hipnosis. Ia sebagai satu alat yang saya rasa perlu ada pada diri saya selaku pendidik dan trainer.
Hipnosis adalah satu kaedah yang dicipta untuk mencapai minda separa sedar kita secara langsung. Ia juga merupakan satu seni untuk memahami manusia di samping ilmu NLP. Istilah hypnosis mula diperkenalkan pada tahun 1842 oleh Dr. James Braid dan kini ia telah berkembang menjadi satu ilmu dan kaedah modern hypnotism. Hipnosis juga telah diaplikasikan dalam aspek klinikal iaitu Modern Clinical Hypnotheraphy dan boleh dipelajari hingga ke peringkat doctorate program.
Kemahiran hipnosis penting untuk kita menguasai minda separa sedar. Minda separa sedar atau sub conscious mind kita amat berkuasa dan boleh dimanipulasikan serta diprogramkan. Secara umumnya, minda separa sedar menguasai 88% dari keseluruhan minda manakala minda sedar hanya mewakili 12 % sahaja. Minda separa sedar berfungsi secara senyap dari dalam walaupun kita sedang melakukan sesuatu perbuatan secara sedar.
Jika kita membaca kajian mengenai otak manusia, kita akan menemui bahawa otak manusia berfungsi menggunakan tenaga elektrik dan arus elektrik tersebut bergerak melalui gelombang. Berdasarkan kajian juga, kita boleh memindahkan gelombang tertentu khususnya kepada orang yang dekat dengan hati kita. Contohnya ibubapa kepada anak. Ia boleh berlaku dalam konteks terkawal dan luar kawal. Oleh itu, dalam proses hipnosis, gelombang tertentu dihantar atau istilahnya "disaran/saranan" ke dalam minda separa sedar untuk memandu pesakit atau klien.
Kebanyakan orang menganggap hipnosis adalah pukau. Ia sebenarnya adalah satu ilmu atau alat yang terbukti secara saintifik yang berkaitan dengan minda manusia. Ia juga tidak menggunakan ayat atau mentera tertentu. Hipnosis hanya boleh dilakukan dengan keizinan dan kehendak individu yang melalui proses hipnosis tersebut. Ini kerana ia memerlukan daya fokus yang tinggi oleh pihak yang dihipnosis. Oleh itu, hipnosis tidak akan berlaku kepada individu yang dalam keadaan khayal atau mabuk.
30 Jul 2009
Salam Permulaan
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Alhamdulillah, dengan izinNya dapat juga "memaksa" diri ini untuk menceburi dimensi baru sebagai cabaran kepada minda untuk menukilkan sesuatu berbentuk "write to be read" dan berkongsi apa yang diperolehi. Semoga ia dapat dimanfaatkan di samping menjadi tempat simpanan maklumat dan pengetahuan yang 'berharga'.